TINJU
JIBC: Arena sukan tinju Malaysia kecil sahaja? Zulhanizam sedia bagi jawapan paling perit buat Al-Moutasem
Arena sukan tinju Malaysia kecil sahaja? Peninju profesional negara, Zulhanizam Asri, sedia menjawab cabaran Al-Moutasem Billah dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) di Arena Larkin, Johor Bahru, hujung minggu ini.
Zulhanizam, yang mesra disapa Ijam, terpanggil untuk menyahut seruan dari kem Al-Moutasem selepas beberapa kali menolak pelawaan peninju dari Syria itu dan dia memasang niat untuk menghantar mesej jelas bahawa pentas tinju di Malaysia adalah miliknya.
Selaku peninju senior dari pentas amatur, Ijam cukup terkesan dengan cakap-cakap Al-Moutasem dari luar gelanggang sehingga menjadikan perlawanan itu antara yang dinanti-nantikannya.
Iklan
Pertarungan kategori heavyweight melebihi 100 kilogram dengan empat pusingan itu sememangnya merupakan kepakaran Ijam, yang telah melalui lebih 20 perlawanan.
Dia optimis akan menamatkan cabaran lawan itu lebih awal menerusi penyudah tumbukan padu yang cukup sinonim dengan dirinya.
"Saya digelar 50 Caliber kerana ia merupakan peluru paling besar dalam divisyen senjata yang digunakan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Ia menggambarkan tumbukan saya yang seberat 50 Caliber..
"Apa yang saya lihat menerusi videonya sebelum ini, dia lebih kepada kepantasan dan ketahanan tetapi saya boleh mengatasi perkara itu kerana kelajuannya tiada apa-apa dan tiada tenaga di sebalik tumbukannya.
"Ia tidak menggoyahkan saya kerana pada akhirnya, saya hanya memerlukan satu tumbukan tepat untuk menamatkan pertarungan.
"Saya rasa sindirannya sudah lama, lebih setahun lalu, di mana kemnya cuba memanggil saya keluar untuk bertarung dengannya.
"Sebelum ini, saya tidak menyahut cabaran itu kerana saya rasa ia tidak mengembangkan karier saya memandangkan ia dilangsungkan oleh organisasi pertarungan yang kecil.
"Jadi, apabila JIBC menawarkan saya untuk bertarung dengannya, saya rasa ini adalah masanya untuk menyelesaikan perkara ini.
"Bagi saya ia pertarungan peribadi kerana kemnya banyak mengata dan mengeluarkan komen yang tidak sedap, di mana mereka katakan arena tinju di Malaysia ini kecil sahaja dan perkara itu sampai di telinga saya, jadi saya fikir ini masa paling sesuai untuk membuktikan mereka silap.
Dapatkan tiket anda di sini.
Must-Watch Video