Skip to main content

Permotoran

Jempol destinasi Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jempol-rally.jpg
Jempol, Negeri Sembilan menjadi destinasi pembuka tirai siri Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang dijenamakan sebagai ‘Rally of Jempol 2025’ untuk dua hari perlumbaan bermula pada Sabtu ini di mana 36 pelumba bagi 18 jentera telah mengesahkan penyertaan untuk memburu podium pertama mereka bagi musim ini.

13 kategori menjadi taruhan melibatkan perlumbaan sejauh 239.88KM bagi 10 peringkat cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap peserta untuk catatan masa terpantas di ladang sawit FELDA Raja Alias dan FELDA Serting Hilir, Jempol.

Penampilan pelumba lagenda negara Karamjit Singh bersama pemandu arah Daveendar Singh bersama jentera Proton Gen2 4WD bakal menjadi perhatian di Jempol ini untuk beraksi bagi kategori Terbuka untuk bersaing rapat dengan beberapa pelumba tempatan yang kian meningkat naik di persada rali kebangsaan.

Begitu juga buat pasukan kerdil dari pantai timur, Eastcoast Rally yang mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 4WD dipacu oleh Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki bersama pemandu arah Mohd Hazwan Fauzi turut meletakkan harapan yang tinggi untuk meraih podium bagi perlumbaan pertama mereka musim ini.

“Segala-galanya di tahap yang terbaik begitu juga dengan persiapan jentera lumba kami untuk perlumbaan pertama kami bagi musim ini di Jempol nanti.

“Sasaran awal kami sudah pasti untuk menaiki podium namun untuk perlumbaan pertama bagi musim ini setiap pasukan mempunyai kelebihan tersendiri setelah mempunyai masa yang amat panjang bagi persiapan pasukan masing-masing setelah berakhirnya perlumbaan di Asahan, Melaka yang menutup tirai musim lalu.“, ujar Ir. Ts. Muhammad Syakirin Razaki yang ditemui sewaktu membuat persiapan akhir jentera Eastcoast Rally di R&R Sports Speed Garage, Kajang Perdana, Selangor.

Jelasnya lagi walapun tanpa gandingan pemandu arah Amir Izham Abd Aziz bagi perlumbaan pertama ini beliau tetap optimis Eastcoast Rallying masih mampu untuk menaiki podium di Jempol nanti.

Amir Izham Abd Aziz yang terpaksa melupakan perlumbaan pembukaan musim ini berikutan kekangan jadual padat terlibat dalam program kejurulatihan skuba antarabangsa di pulau Perhentian, Terengganu.

Ketika ini tugas pemandu arah pasukan Eastcoast Rallying digalas sementara oleh Mohd Hazwan Fauzi yang turut pernah beraksi di beberapa perlumbaan kejuaraan rali tempatan sebelum ini.

 Untuk rekod, Kejuaraan Rali Malaysia MAM 2025 yang dianjurkan oleh Millennium Motorsports Adventures Club(MMAC) untuk tahun kedua ini turut mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Permotoran Malaysia(MAM) selaku badan induk sukan kebangsaan yang mengawalselia penganjuran sukan permotoran tanah air.

Sebanyak 4 siri perlumbaan rali untuk sepanjang musim ini di mana Jempol, Negeri Sembilan menjadi destinasi pertama dan seterusnya Sepang Bay 13, Litar Antarabangsa Sepang menjadi destinasi kedua kejuaraan rali ini semperna MAM Malaysia Festival of Speed(MFOS) yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 Ogos nanti.

Advertisement

Must Watch Video