SUKAN LAIN
Jelajah Malaysia: PKBM elak hutang lapuk berulang
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) enggan lagi mengalami situasi terpaksa menanggung hutang yang ditinggalkan penganjur Jelajah Malaysia sambil tidak teragak-agak membatalkan edisi 2018 sekiranya perkara sama tetap berulang.
Penganjur terdahulu, Life Pro Fit, masih gagal melangsaikan hutang tertunggak berjumlah RM300,000 yang meliputi wang kemenangan dan juga bayaran kepada kontraktor yang terbabit ketika menganjurkan Jelajah Malaysia tahun lalu.
Justeru, ia menyebabkan PKBM bukan sahaja terpaksa menanggung hutang tersebut, malah terpaksa membayar denda kepada Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sehingga mencemarkan imej Malaysia.
"Masih ada dua hingga tiga lagi wang kemenangan yang belum dibayar, ini menimbulkan masalah buat PKBM.
"Lebih baik perlumbaan tidak diadakan, disebabkannya negara akan menanggung malu," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.
Titan Empire Event Management (TEEM) diberikan amanah untuk mengurus edisi kali ini dengan jayanya tanpa sebarang kontroversi.
Perjanjian persefahaman di antara pihak TEEM dan PKBM dimeterai di ibu kota hari ini dengan kedua-dua pihak akan mematuhi segala klausa yang termaktub dalam perjanjian, antaranya perlu menyerahkan wang hadiah sebulan sebelum kejohanan berlangsung kepada PKBM.
Jelajah Malaysia kali ini dijangka berlangsung selama lima hari dengan kejohanan itu diletakkan dalam kategori 2.2 dan merupakan sebahagian daripada kalendar Jelajah Asia.
"Daripada segi peraturan UCI, kami boleh membatalkan pertandingan ini sebulan sebelum itu tanpa dikenakan apa-apa penalti oleh UCI," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Malaysia 2018, Noraidiaazhar Sulaiman.