BERBASIKAL
Jelajah Malaysia: Penganjur perlu akur syarat PKBM
Syarikat yang berminat menganjurkan perlumbaan Jelajah Malaysia 2018 menyambut baik syarat wang hadiah kemenangan diserahkan terlebih dahulu kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sebelum saingan berlangsung dari 2 hingga 6 Oktober ini.
Isu hadiah kemenangan yang lewat dibayar atau tertunggak sering kali mencalarkan imej kejohanan itu dan syarat yang ditetapkan oleh badan berkenaan dilihat sebagai satu penyelesaian terbaik.
Salah satu syarikat yang berminat menganjurkan perlumbaan edisi 2018 itu ialah Titan Empire Event Management.
Iklan
Pengarah Operasinya, Noraidiazhar Sulaiman, bagaimanapun, menggesa PKBM supaya memberi tempoh lebih awal kepada penganjur untuk membuat persediaan.
PKBM hanya akan mengumumkan siapa penganjur yang terpilih tiga bulan sebelum perlumbaan.
Ironinya, Noraidiazhar merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Malaysia 2017.
"Jika penganjur dapat awal, bermaksud mereka boleh mencari penajaan dalam tempoh yang panjang dan boleh membayar wang kemenangan.
"Kalau dianugerahkan awal, saya rasa tiada masalah untuk mereka mendapatkan penajaan.
"Saya memohon KBS (Kementerian Belia dan Sukan), kalau boleh masukkan Jelajah Malaysia dalam kalendar mereka untuk pembangunan," katanya selepas sidang media Program Larian dan Kayuhan di Titiwangsa yang akan diadakan 3 Februari depan.
Program santai itu membabitkan larian sejauh 5km dan berbasikal 30km dengan penglibatan beberapa pelumba lebuh raya kebangsaan seperti Anuar Manan, Amir Mustafa Rusli dan Nik Mohamad Azwan
Zulkiflie.
Must-Watch Video