Jelajah Golf Toyota: Hadiah hari jadi terbaik Tanapat
Shaiful Shamsudin
November 23, 2024 20:19 MYT
November 23, 2024 20:19 MYT
Hari penuh bermakna buat juara Jelajah Golf Toyota 2024 dari Thailand, Tanapat Pichaikool.
Dia mempamerkan persembahan paling tekal sepanjang empat hari saingan di di Kota Permai Golf And Country Club dan Tanapat menamatkan kempennya dengan catatan 217 pukulan, 17 di bawah par.
Menariknya, hadiah kemenangan hari ini menjadi paling signifikan buat dirinya kerana hadir pada hari lahir ke-25.
"Hari yang sukar. Saya kurang yakin dalam beberapa pukulan tee. Putting juga tidak begitu bagus.
"Saya cuma kekalkan usaha untuk memenangi beberapa lubang terakhir dan ia berhasil," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Rakan senegaranya, Sarut Vongchaisit, turut meluahkan kegembiraanya selepas menghuni tangga kedua terbaik.
Walaupun terlepas gelaran kemuncak saingan itu, namun pengalaman ini adalah terbaik untuk Sarut bersiap siaga menghadapi kejohanan seterusnya.
"Saya tidak beraksi dengan baik terutama di sembilan terakhir.
"Selain daripada itu permainan berjalan lancar.
"Saya akan menghadapi satu lagi kejohanan penting minggu depan.
"Saya perlu menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik ADT (Jelajah Pembangunan Asia) untuk menembusi Jelajah Asia pula," katanya.