Skuad Hoki 5 Sebelah (5s) Lelaki Kebangsaan, bersedia bagi memulakan misi penting hujung tahun ini dan bakal mengharungi Jelajah Bangkok 2025 dari 28 Oktober hingga 2 November ini bertempat di Stadium Royal Thai Airforce, Bangkok, Thailand.
Seramai 16 pemain dan empat pegawai menyertai siri jelajah tersebut dan ia menjadi medan terbaik untuk barisan kejurulatihan menilai tahap kesiapsiagaan pasukan dan membentuk pasukan terbaik menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember nanti.
Advertisement
Sepanjang enam hari di Bangkok, pasukan negara dijadualkan mengharungi enam perlawanan persahabatan menentang Skuad Sukan SEA Thailand.
Aksi pertama dan kedua akan berlangsung pada 29 Oktober (sesi pagi dan petang), diikuti perlawanan ketiga pada 30 Oktober, sebelum skuad negara kembali beraksi pada 31 Oktober bagi perlawanan keempat.
Dua aksi terakhir pula akan menutup tirai jelajah pada 1 November dengan perlawanan pagi dan petang, yang menjadi peluang terakhir untuk pemain-pemain membuktikan bahawa mereka layak mengibar cabaran negara di Sukan SEA nanti.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s dan Pengurus Pasukan Lelaki, Hasnizam Hassan, jelajah ke Thailand ini memainkan peranan besar dalam melengkapkan persiapan pasukan menghadapi cabaran di pentas Sukan SEA.
“Program ini bukan sekadar siri perlawanan antarabangsa tetapi turut menjadi medan penilaian prestasi dan pemilihan pemain yang bakal menggalas cabaran negara di pentas serantau.
“Saya berharap setiap pemain memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk menimba pengalaman, memperbaiki kelemahan dan membina kekuatan diri serta pasukan.
“Semoga pengalaman berharga di Bangkok diharap mampu membentuk pasukan yang lebih matang, berdisiplin dan berwawasan dalam memburu pingat emas Sukan SEA 2025 nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman, menjelaskan persiapan pasukan berjalan lancar dengan dua sesi latihan diadakan di Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
“Seramai 17 pemain masih dikekalkan tidak termasuk Akhimullah Anuar Esook, yang sedang menjalani rawatan. Jelajah Thailand ini penting untuk menilai prestasi sebenar pemain kerana ia merupakan perlawanan ujian pertama selepas lebih sebulan berlatih.
“Harapan saya, jelajah ini memberi suasana perlawanan sebenar kepada pemain sebelum kami menamakan senarai 10 pemain terbaik yang akan menggalas cabaran ke Sukan SEA Disember ini,” katanya.

Lebih Dari Sekadar Jam
Jam Garmin ini bantu anda jejak setiap langkah, degupan & pencapaian dengan tepat.
Dapatkan Sekarang