HOKI
Jawatan jurulatih skuad wanita negara jadi rebutan hangat
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengesahkan lebih 10 calon sudah menghantar permohonan untuk mengisi jawatan pengendali skuad wanita negara, namun enggan mengulas mengenai status bekas jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.
Beberapa calon dari Eropah seperti Belanda turut memohon menjelang tarikh tutup permohonan pada tengah malam Isnin ini dan ia membuktikan bahawa Malaysia berjaya menarik ramai jurulatih terbaik dunia.
"Proses permohonan mendapat maklum balas yang baik.
"Malah, bukan sahaja dari Malaysia, jurulatih luar negara juga menunjukkan minat terhadap jawatan ini.
"Melalui proses ini, kalau ada mana-mana jurulatih yang berminat dan berasakan boleh membuat perubahan dan kebaikan untuk Malaysia, maka mereka boleh memohon," kata Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr. S. Shamala.
Dhaarma pula masih belum menghantar permohonan dan secara tidak langsung menimbulkan persoalan apakah dia akan terus kekal atau tidak sambil pengendali Terengganu Hockey Team (THT) itu dijangka akan mengadakan sidang media dalam tempoh beberapa hari ini.
Editor: Shaiful Shamsudin