KL2017
Jawairiah sedia kembali ke gelanggang
Pemain tenis wanita negara, Jawairiah Noordin, dijangka kembali berlatih seperti biasa minggu depan untuk persiapan Sukan SEA apabila semakin pulih daripada kecederaan lutut yang dialami bulan lalu.
Persaingan membabitkan pencabar, antaranya Thailand, Indonesia dan Filipina, menyukarkan situasi Malaysia yang memiliki ranking lebih rendah.
Bagaimanapun, kejutan tetap menjadi misi utama berlandaskan kelebihan selaku pasukan tuan rumah.
Bagi Jawairiah yang akan berpasangan dengan S. Theiviya dalam acara beregu, dia tiada pilihan selain cuba memecah dominasi pasukan pilihan atau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian gangsa di Singapura, dua tahun lalu.
Kecederaan Jawairiah dijangka akan pulih dalam masa terdekat selain turut bergantung kepada perubatan yang dibekalkan Institut Sukan Negara (ISN).
"Sudah boleh bengkokkan kaki, boleh jalan dan laripun sudah boleh tetapi suntikan berperingkat itu masih perlu dilakukan, tidak boleh henti.
"Jumaat ini adalah suntikan terakhir dan minggu depan saya boleh masuk ke gelanggang," katanya.
Selain Jawairiah dan Theiviya, tiga pemain lelaki, Assri Merzuki, Ahmed Deedat dan Syed Mohd Agil adalah sebahagian daripada pemain negara yang memenangi gangsa dalam acara berpasukan, dua tahun lalu di Singapura.
Skuad tenis negara:
Lelaki
1. Assri Merzuki
2. Ahmed Deedat
3. Syed Mohd Agil
4. Koay Hao Sheng
5. Christian Oliver Lee
Wanita
1. Jawairiah Noordin
2. Theviya Selvarajoo
3. Aslina Chua
4. Uma Nayar
5. Suhana Sofea Adam