SUKAN LAIN

Jake Paul mahu tutup mulut pengkritik

Shaiful Shamsudin 08/07/2022 | 04:06 MYT
Jake Paul berikrar untuk menutup mulut semua pengkritiknya selepas mengesahkan Hasim Rahman Jr sebagai lawan seterusnya berikutan penarikan diri Tommy Fury.
Semalam, sensasi YouTube itu mengumumkan bahawa pertarungan cadangannya dengan Fury pada 6 Ogos depan tidak akan diteruskan sambil mencari lawan baru.
Rahman, anak kepada bekas juara tinju heavyweight, bakal mengisi kekosongan itu dan ia disahkan sendiri oleh Fury.
Peninju kelas berat berusia 31 tahun itu mempunyai rekod 12-1 sebagai atlet profesional dengan enam 'knockout', sekali gus akan memberikan ujian paling sukar buat Paul yang memiliki reputasi 5-0 untuk perlahan-lahan membuktikan keupayaannya.
Ia adalah kali pertama Paul bertarung dengan petinju profesional dan selebriti dari Amerika Syarikat itu percaya dia akan menghadapi cabaran yang lebih besar berbanding jika berdepan dengan Fury bulan depan.
"Saya benar-benar gila," katanya kepada ESPN.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Tiada sebab mengapa saya perlu mengambil bahagian dalam pertarungan ini. Saya mahu membuktikan kepada dunia tinju bahawa saya adalah peninju sejati, itulah saya.
"Dan saya akan turun menentang seorang lawan dengan rekod 12-1. Ia catatan yang lebih hebat daripada Tommy Fury, lebih pantas daripada Tommy Fury -- segalanya.
"Saya akan mempamerkan prestasi terbaik seumur hidup dan mahu menutup mulut semua orang."
Lawan Paul sebelum ini, Fury, dua kali menarik diri daripada pertarungan. Yang pertama kerana sakit pada Disember tahun lalu kemudian disebabkan masalah visa yang menghalangnya pergi ke Amerika Syarikat.
#Tinju #Jake Paul
;