Jaguh lompat kijang mahu buka lembaran baru
Shaiful Shamsudin
Januari 15, 2025 20:46 MYT
Januari 15, 2025 20:46 MYT
"2025, Andre akan kembali!"
Demikian jaminan jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar, yang mencanang kebangkitan di peringkat global.
Sejak namanya meningkat naik pada 2015 apabila mendominasi acara kegemarannya itu di peringkat Asia Tenggara menerusi pingat emas Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN.
Sejak pada itu, Andre membolot kesemua emas di peringkat negara mahupun Asia Tenggara dan selepas 10 tahun menggalami jatuh naik prestasi, Andre sudah ada formula untuk mengumumkan kemunculan semula pada tahun ini.
Andre menamatkan musim lalu menerusi tujuh emas sepanjang siri penganjuran Kejohanan Olahraga Cahya Mata Sarawak Super Series.
Dominasi Andre turut menyaksikan dirinya masih belum dicabar dalam Sukan SEA Thailand hujung tahun ini apabila meraih emas dalam dua edisi terakhir di Vietnam dan Kemboja.
Menambah keterujaannya untuk menembusi zon selesa, anak didik Ahmad Firdaus Salim itu mendambakan penampilan istimewa dalam kalangan atlet elit dunia -- bermula menerusi Kejohanan Padang dan Trek Asia di Nilai pada 21 Februari depan.
"Beberapa tahun kebelakangan ini prestasi saya agak merosot atas faktor kecederaan dan lain-lain.
"Saya sering ditimpa kecederaan jadi tahun ini ada kelainan -- mungkin adalah detik kebangkitan saya sebab tahun ini ada ATF, Sukan SEA dan Kejohanan Dunia. Tiga pertandingan ini menjadi sasaran utama kami.
"Saya perlu menyerlah beraksi dalam ATF untuk layak ke Kejohanan Dunia dan yang terakhir menyertai Sukan SEA.
"Walaupun saya dan Aifa (Azman) baru bertukar status sebagai suami isteri, latihan kami tetap berjalan seperti biasa.
"Kami akan menghadapi kejohanan jadi (perkahwinan) bukanlah alasan untuk kami tidak cemerlang," katanya.