Jaflee Jikol bagaikan abang saya -- pemenang empat emas hiba

Muzaffar Musa
September 30, 2024 21:40 MYT
Pemenang empat emas renang Para Sukma 2024, Safwan Suhaimi, hiba mengenangkan pemergian rakan seperjuangannya, Jaflee Jikol, yang meninggal dunia pada penghujung tahun lalu.
Selain memenangi empat pingat emas, Safwan turut memecahkan tiga rekod kebangsaan dan satu rekod Para Sukma dalam edisi kali ini dan mengenangkan Jaflee, yang pernah berseteru dengannya dalam kategori berkenaan, dia berasa hiba.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zaki Zainal, dia berkata dalam kehibaan: "Saya tidak kisah sangat jika mendiang Jaflee Jikol masih memegang rekod kebangsaan kerana saya amat menghormatinya.
"Saya rapat dengannya, kami sudah kenal sejak berjumpa dalam Sirkit 2. Kami berkenalan kerana sama kategori.
"Saya seronok berkawan dengannya, dia baik dan selalu memberikan motivasi buat saya. Saya menganggapnya sebagai abang saya.
"Pada penghujung 2023, saya mendapat perkhabaran bahawa Jaflee Jikol sudah meninggal dunia.
"Saya berasa sedih dan terkejut kerana saya memasang impian untuk bersamanya layak ke Sukan Para ASEAN 2025 ini.
"Dia sentiasa mengingatkan saya agar berlatih dengan kuat kerana kami hanya berlawan di kolam dan selebihnya kami berkawan rapat," katanya.
#Renang Para #Para Sukma 2024 #Safwan Suhaimi