SUKAN LAIN

ISN perlu wujudkan sistem kategori -- Kok Chi

Penulis Jemputan 04/06/2019 | 08:44 MYT
Pemerhati sukan, Datuk Sieh Kok Chi, mencadangkan agar Institut Sukan Negara (ISN), mewujudkan sistem kategori buat atlet kebangsaan selepas pelayar, Khairulnizam Mohd Afendy, berasa kecewa kerana tidak mendapat bantuan tukang urut dalam tiga kejohanan pertama tahun ini.
ISN patut mewujudkan sistem pengelasan atlet bagi mengenal pasti keutamaan untuk menyalurkan bantuan.
Ia bagi mengelakkan rasa tidak puas hati Khairulnizam selepas permintaannya untuk mendapatkan bantuan ISN seperti tukang urut tidak kesampaian walaupun dia sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Lebih mengecewakan, ISN memberikan lebih bantuan kepada sukan lain seperti hoki dan badminton walaupun belum layak Tokyo.
"Mengapa anda perlu melayan atlet yang belum layak lebih baik berbanding atlet yang sudah layak?
"Ia sepatutnya sama seperti layanan terhadap atlet dalam kelompok enam atau lapan terbaik (dunia) kerana mereka sudah layak ke Sukan Olimpik.
"Bagi saya, ia sepatutnya mempunyai tiga kategori," katanya.
Setakat ini, hanya Khairulnizam dan seorang lagi pelayar, Nor Syazrin Abdul Latif, sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo.
Sebagai rekod, kedua-dua pelayar itu juga pernah menyertai temasya Rio 2016, namun gagal ke final.
"Saya berasakan sudah ada satu sistem dalam MSN (Majlis Sukan Negara), namun ia tidak berapa jelas, begitu juga dengan ISN.
"Apa yang paling penting, setiap pihak perlu tahu mengenai terma dan syarat.
"Jika mereka tidak gembira, mereka perlu tarik diri," tambahnya.
;