SUKAN LAIN
ISG: 'Perfect game' bawa Juwaidi ke final
Pemanah berpengalaman compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki memberi indikasi positif untuk melakar kejayaan merangkul pingat emas Sukan Solidariti Islam (ISG) selepas melakar rekod kebangsaan 50 meter individu dengan kutipan mata maksimum 150 mata daripada 15 anak panah yang diperuntukkan.
Namun tanpa diduga, di sebalik panahan konsisten daripada pemanah berusia 32 tahun negara itu, terdapat kisah yang mahu dikongsikan pemenang dua pingat emas Sukan SEA Hanoi sebelum terbang ke bumi Konya, Turkiye.
Figura senior dalam kem memanah negara, Juwaidi sememangnya menikmati fasa terbaiknya -- muncul tonggak utama skuad compound negara tuai emas di Sukan SEA Hanoi -- kali ini Juwaidi mengekalkan bidikan sempurna di bumi Turkiye.
Hadir selaku taruhan terbaik negara, Juwaidi menepati ramalan mengesahkan kemaraan ke pentas akhir hasil kelebihan 1 mata ke atas wakil tuan rumah, Egemen Uslu 147 berbalas 146.
Kejayaan Juwaidi ke final bersulamkan kemanisan tersendiri susulan atlet yang berpangkalan di Melaka itu melakukan perfect game ketika kemenangan ke atas Mohammad Ashikuzzaman.
"Panahan semakin baik. Selepas tamat Sukan SEA, kami telah meningkatkan lagi mutu persembahan dan ia mula memberikan pulangan," kata Juwaidi.