SUKAN LAIN

ISG: Kuartet pecut negara mara ke final

Ammar Hakim 11/08/2022 | 11:01 MYT
Barisan pelari pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Arshad Md Saat memadam duka pada penampilan acara individu tempoh hari apabila mempamerkan larian bertenaga untuk menempah slot final saingan 4x100 meter Sukan Solidariti Islam (ISG) di Konya, Turkiye.
Turut melengkapkan kuartet 4x100m negara, pelari berpengalaman, Jonathan Nyepa mengetuai kemaraan ke saingan akhir secara merit sekaligus berpeluang untuk menambah kilauan pingat kontinjen negara.
Tumpuan khusus diberikan buat kuartet negara yang berada di lorong ketiga -- Jonathan Nyepa selaku pelari paling berpengalaman memulakan saingan.
Kelincahan pelari kedua dan ketiga negara, Arshad Md Saat serta Haiqal Hanafi menjadi detik penentu menempatkan dalam kelompok hadapan -- sebelum Khairul Hafiz kekal tenang memastikan slot milik negara ke pentas akhir.
Kejayaan itu bagaikan pentas balas dendam buat tiga pelari pecut muda negara selepas tewas di peringkat separuh akhir acara individu, 100 dan 200m.
;