HOKI

'Inspektor polis' berdepan kesuntukan masa hadapi saingan Liga Dunia

Shaiful Shamsudin 04/02/2017 | 04:37 MYT
Bekas kapten hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, tidak sabar untuk kembali ke pangkuan The Malaysian Hockey Tigers menjelang pusingan kedua Liga Dunia, bulan depan, selepas menamatkan kursus latihan asas inspektor polis.
Empat pemain hoki negara, masing-masing dua lelaki dan wanita, kini bergelar inspektor polis.
Tumpuan terarah kepada Razie dalam misi menggalas tugas penting sebagai pertahanan dan pakar pukulan sudut penalti untuk membantu Malaysia melepasi halangan pertama ke Piala Dunia 2018.
Malaysia sepatutnya beraksi di Trinidad & Tobago, namun keadaan dijangka berubah apabila Kanada menarik diri di kejohanan sama di Bangladesh, bermula 4 Mac depan, dan secara tidak langsung Malaysia sebagai pengganti paling sesuai.
"Setelah tamat kursus latihan asas inspektor polis ini, saya amat berharap untuk kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan.
"Saya akan melakukan yang terbaik demi negara," katanya.
"Ada kemungkinan kami akan bermain di Dhaka. Kalau betul, kami hanya mempunyai tempoh sebulan untuk membuat persiapan.
"Jadi, saya dan Razie perlu segera mengembalikan kecergasan dan sentuhan kami," ujar pemain tengah negara, Nabil Fiqri Mohd Noor, yang turut menamatkan kursus yang sama.
Dua lagi pemain wanita negara turut mengikut jejak langkah sama bergelar inspektor.
Mereka juga menggalas tugas penting menjelang aksi separuh akhir Liga Dunia, sama ada di Belgium atau Afrika Selatan sebagai Kelayakan Piala Dunia Wanita 2018.
"Walaupun terikat dengan dua kerja -- sesi latihan dan anggota polis -- kami akan fokus kepada kedua-duanya kerana ia merupakan kerjaya kami.
"Impian kami adalah untuk layak ke Piala Dunia.
"Untuk itu, kami akan fokus menghadapi kempen di Afrika Selatan atau Belgium.
"Kami bertekad untuk memberikan aksi terbaik di sana nanti," kata penjaga gol skuad kebangsaan, Farah Ayuni Yahya.
;