TERJUN
Ia hanya satu gelaran -- Jun Hoong
Cheong Jun Hoong memandang gelaran juara dunia bukan sebagai sandaran untuk mendabik dada, sebaliknya menjadikan pencapaian itu sebagai sumber inspirasi untuk terus memburu kejayaan di pentas tertinggi dunia.
Jun Hoong dan seluruh skuad terjun negara diraikan di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setibanya mereka dari Budapest, Hungary, petang ini.
Lembaran baru sejarah sukan negara ini tersingkap susulan kejayaannya menyumbang pingat emas dalam acara 10 meter platform individu dalam Kejohanan Akuatik Dunia, Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), Khamis lalu.
Dia menegaskan misi menyumbang kejayaan oleh skuad terjun negara akan diteruskan bermula dengan Sukan SEA, bulan depan.
"Bagi saya, ini adalah satu gelaran sahaja. Ia kerana tiada seorangpun yang menjadi juara sepanjang hidup. Ia hanya sejarah yang telah dicipta oleh saya.
"Saya rasa setiap pertandingan hanya ada seorang juara, tempat kedua dan ketiga. Saya tiada tekanan setakat ini," katanya.
Jun Hoong memenangi pingat emas selepas meraih 397.50 mata, menumpaskan juara Sukan Olimpik 2016, Ren Qian, yang sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa (391.95m) dan Si Yajie, (396.00m) yang meraih perak.
Seorang lagi penerjun negara, Pandelela Rinong, menjadi bukti keakraban utuh dalam skuad terjun negara apabila berkongsi erti kejayaan Jun Hoong ini.
Bersama Jun Hoong, Pandelela turut menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama.
"Semasa saya menyertai skuad terjun negara pada 2007, dia sudah ada. Saya sudah melihat bagaimana dia berlatih.
"Dia berusaha bersungguh-sungguh walaupun ada mengalami kecederaan dan kadang-kadang ada turun naiknya. Saya melihat sendiri kerja kerasnya dan ia memberi motivasi kepada semua," kata Pandelela.