SUKAN LAIN
HSN 2025 cetus gelombang aktiviti, pacu kesejahteraan belia, Malaysia aktif
Seluruh negara kini bersiap sedia menyambut Hari Sukan Negara (HSN) 2025, yang bakal berlangsung serentak kurang seminggu lagi, dengan ribuan aktiviti dijadualkan di setiap negeri bagi membudayakan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Acara kemuncak HSN 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Penganjuran di Ipoh itu dijangka mampu menarik lebih 300,000 penyertaan warga Perak serta 5.2 juta peserta di seluruh negara, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
Iklan
HSN, yang saban tahun menjadi agenda penting Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), bukan sahaja mengangkat sukan sebagai wadah penyatuan, bahkan turut diselaraskan dengan Indeks Belia Malaysia (IBM), yang menekankan aspek kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan keterlibatan sosial belia.
Tahun ini, penganjuran HSN menggabungkan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti merangkumi sukan rakyat, permainan tradisional, aktiviti lasak, kecergasan moden serta sukan komuniti, menjadikan HSN sebagai platform inklusif yang mampu memacu kesejahteraan sosial.
“HSN 2025 bukan sekadar acara sukan, tetapi satu gerakan nasional yang menyatukan rakyat Malaysia ke arah gaya hidup aktif. Ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI serta pengukuhan kesejahteraan belia melalui IBM,” ujar Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin.
Selain memberi impak positif terhadap tahap kesihatan awam, HSN juga dijangka meningkatkan skor IBM khususnya dalam dimensi aktiviti riadah, pembangunan modal insan dan penglibatan komuniti, sekaligus mencerminkan keseimbangan hidup belia Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi dan pengisian aktiviti HSN 2025, orang ramai boleh melayari portal rasmi di www.harisukannegara.my.

NIKE 15% OFF
Beli kasut dan koleksi Nike lain sekarang, nikmati diskaun 15% eksklusif! Klik Sini Sekarang
Must-Watch Video



