HOKI
Hoki Wanita: PKS Uniten mudah atasi KL Wipers
Pasukan PKS Uniten-KPT terus unggul menerajui carta Liga Hoki Wanita Malaysia selepas menundukkan KL Wipers 4-0 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.
PKS Uniten, yang dibimbing bekas pemain negara, Lailin Abu Hassan, mengawal keseluruhan perlawanan sejak dari awal.
Mereka mula menjaringkan gol pada minit kesembilan menerusi Raja Norsharina Raja Shahabuddin yang berpunca daripada pukulan sudut penalti.
Sepuluh minit kemudian, dia terus meledak gol kedua untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak kepada PKS Uniten.
Memasuki suku ketiga perlawanan, Fatin Shaki Mohd Sukri terus memberi kelebihan buat PKS Uniten dengan meledak gol ketiga pada minit ke-33.
Selepas itu, Wan Norfaizah Mohd Sayuti bijak mencuri peluang untuk melengkapkan kemenangan buat PKS Uniten dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-39.
"Misi kami untuk memburu tiga mata berjaya tetapi kami selepas ini tidak boleh lagi membuat kesilapan mudah.
"Kami tidak memburu banyak gol, ia cukup untuk memastikan tiga mata, itu yang lebih penting," kata Raja Norsharina.
Sementara itu, jurulatih KL Wipers, A. Kannagi, berkata: "Pihak lawan bermain lebih baik daripada kami tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pasukan saya. Pemain mengikut strategi pasukan."
Keputusan lain semalam menyaksikan Terengganu Ladies menang 4-1 ke atas UiTM sementara Blue Warriors mengatasi MSN Kedah menerusi kemenangan 4-0.