HOKI
Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak: Melaka kejutkan pasukan pilihan Selangor
Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak memperlihatkan Melaka mencipta kejutan terbesar menerusi kemenangan 2-1 ke atas Selangor, hari ini, untuk ke pentas final buat kali pertama dalam sejarah.
Kejayaan termanis yang dilakar gandingan pemain muda dan senior skuad itu membuahkan hasil selepas kekal komited dengan percaturan bagi aksi getir ini biarpun langkah kiri berikutan gol padang Nur Idrina Asnida Mohd Yusmi meletakkan Selangor memimpin saingan.
Melaka yang tewas 0-1 kepada seteru sama dalam Kumpulan A enggan dikecewakan lagi apabila bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti, Liyana Aqilah Sepawi.
Iklan
Tatkala perebutan slot ke pentas final makin sengit, Nuraslinda Said pantas mengeksploitasi kealpaan pertahanan Selangor untuk meledak gol kemenangan di penghujung saingan.
"Kami fokus kepada diri sendiri, pemain senior dan muda bermain sehabis baik.
"Kami turuti taktikal jurulatih dan pertaruhan semangat yang ada.
"Kami juga hanya berikan fokus taktikal lawan tanpa mengambil kira pemain kebangsaan yang mereka ada.
"Kami hormati mereka sebagai pihak lawan dan siapa juga yang menjadi penjaring, itu rezeki masin-masing," kata kapten Melaka, Nur Aisyah Yaacob.
Menurut ketua jurulatih Selangor pula, Ikmal Abdul Jabar: "Ada kecelaruan dalam taktikal pukulan sudut penalti.
"Kami kehilangan pemain utama yang juga ketua pasukan akibat patah hidung ketika berdepan Pulau Pinang.
"Ia membuatkan permainan kami berbeza dan ia antara faktor kekalahan kami."
Must-Watch Video