HOKI

Hoki wanita negara dapat perhatian pasukan gergasi

Penulis Jemputan 29/06/2017 | 05:26 MYT
"Ia proses yang berjaya," itu reaksi keseluruhan barisan jurulatih skuad hoki wanita negara selepas melihat kesungguhan anak buah mereka mencari kelainan dalam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.
Kemunculan Malaysia berjaya meraih tumpuan pasukan gergasi seperti Australia, New Zealand mahupun Sepanyol yang tidak teragak-agak melabelkan skuad wanita negara sebagai pasukan yang sedang meningkat naik.
Keindahan bumi Brussles menjadi saksi skuad hoki wanita negara kini sedang melangkah ke satu fasa yang lebih baik daripada sebelumnya.
Meskipun mereka gagal meraih sebarang kutipan mata, namun cara permainan yang tidak sekadar bersandarkan kepada aksi bertahan membuktikan mereka sedang mengalami perubahan positif.
Nama Malaysia Tigress sering terpinggir sebelum ini sehinggalah ketua jurulatih, Muhamad Dhaarma Raj Abdullah, mengubah landskap pasukan itu sejak 18 bulan lalu.
"Mereka telah menunjukkan prestasi yang bagus dalam dua perlawanan awal dan selepas dibelasah Belgium, moral mereka mula jatuh. Tetapi saya tahu mereka miliki kualiti untuk menyaingi pasukan gergasi lain," ujar Dhaarma.
Ramai beranggapan Stade Fallon bakal menjadi gelanggang belasahan buat Malaysia -- pasukan di ranking ke-22 dunia -- namun sebaliknya yang berlaku apabila anak buah Dhaarma memberi cabaran sengit ketika berdepan Australia dan Sepanyol.
"Saya melihat aksi di antara Malaysia berdepan Belgium dan ketika itu Malaysia terpaksa bermain dengan 10 pemain selama 20 minit ekoran kad kuning.
"Ternyata senario itu memberi kesukaran buat Malaysia untuk cuba memberikan saingan," jelas pengendali New Zealand, Mark Hager.
Membuat kemunculan sulung di pentas Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, Malaysia cuba mencari ruang untuk mencipta kejutan.
Bagaimanapun, harapan itu ternyata masih terlalu awal, dengan banyak perkara penting yang perlu diperbaiki seandainya Malaysia mahu menjadi salah satu daripada kuasa besar dunia.
Belgium mengambil masa empat tahun untuk berada pada tahap terkini mereka dan hal yang sama mampu berlaku ke atas Malaysia jika segala-galanya berjalan dengan lancar.
"Kami tersenarai dalam kumpulan yang kuat dibarisi Australia, New Zealand, Sepanyol dan Belgium yang menduduki ranking yang tinggi.
"Tetapi setiap pemain telah mempamerkan peningkatan mendadak, terutama ketika berdepan New Zealand, di mana kita tewas tipis 1-0," jelas penolong jurulatih skuad wanita negara, Lailin Abu Hassan.
Malaysia gagal mengutip sebarang mata dalam saingan peringkat kumpulan, namun Dhaarma tidak mahu sekadar berpuas hati dengan prestasi positif semata-mata.
Dia mahu satu kemenangan daripada anak buahnya membabitkan aksi play off perebutan tempat ke-9 dan ke-10 sebagai ole ole termanis dari Belgium.
;