HOKI

Hoki Remaja Asia: The Young Tigers perkemas aksi menjelang Piala Dunia Remaja

Shaiful Shamsudin 02/06/2023 | 12:17 MYT
The Young Tigers mengakhiri kempen Kejohanan Hoki Remaja Asia kekalahan tipis 1-2 kepada Korea Selatan untuk mengisi tempat keempat terbaik benua ini.
Kekalahan di Sultan Qaboos Youth Complex, Salalah, Oman, awal pagi tadi agak mengejutkan kerana sebelum ini Malaysia berhasil menumpaskan Korea Selatan dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan menerusi keputusan 3-1.
Pada awal permainan, Shahmie Irfan tidak dapat menterjemahkan pukulan sudut penalti selepas percubaannnya mudah ditepis penjaga gol.
Korea Selatan sebaliknya memecah kebuntuan menerusi Lim Do-hyun yang memanfaatkan gerakan serupa untuk memberi gol pertama pasukannya.
Malaysia yang tersentak kemudian menyamakan kedudukan pada akhir suku kedua menerusi gol padang daripada Muhammad Adam Ashraf, yang menggelecek dari tengah dan menyudahkan dengan pukulan deras jarak jauh.
Namun, Malaysia terpaksa menelan kepahitan apabila Yoo Seung-ho meledak gol ketiga selepas membuat gerakan cantik dari kiri padang sebelum mudah menolak masuk bola ke dalam gawang negara.
"Semestinya kami rasa kecewa dan sedih dengan kekalahan ini.
"Tetapi kami harus terima kekalahan ini dan harus lihat balik kelemahan dalam perlawanan ini.
"Kami harus terus memandang ke hadapan untuk ke peringkat seterusnya.
"Pemain telah cuba sehabis baik dengan mengharungi dua kejohanan termasuk Sukan SEA Kemboja dalam tempoh sebulan.
"Kami akan cuba perbaiki kelemahan menjelang Piala Dunia Remaja hujung tahun ini," kata ketua jurulatih hoki remaja negara, Amin Rahim.
#Hoki #Piala Dunia Remaja
;