Skuad negara turun beraksi dalam pusingan 'cross over' dalam misi menempah perlawanan klasifikasi kelima dan keenam Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara, hari ini.
Skuad kendalian Sarjit Singh itu dipaksa kerah keringat di awal permainan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil apabila asakan bertali arus Afrika Selatan begitu mudah melepasi pertahanan negara.
Mujur, ketangkasan penjaga gol senior, Hafizuddin Othman, menafikan tiga percubaan Afrika Selatan dalam suku pertama bagi memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Selepas 10 minit beraksi, barulah skuad negara mula mendapat rentak dan menggasak kubu pencabar itu.
Namun, dua pukulan sudut penalti kem negara tidak membuahkan hasil dan situasi ini memaksa Sarjit kembali mempertaruhkan Syed Syafiq Syed Cholan sebagai 'flicker' selepas melakukan variasi pukulan dalam dua percubaan awal.
Dan tindakan itu memberikan pulangan yang menyaksikan Syed Syafiq meledak gol pembukaan permainan yang juga merupakan gol ketiga peribadinya dalam kempen kali ini.
Pada ketika skuad negara selesa dengan gol pendahuluan itu, Afrika Selatan kembali mengikat kedudukan menerusi jaringan Angelo Walstroom ketika permainan berbaki 15 saat menuju rehat.
The
Speedy Tigers kembali mengatur gerakan dan berjaya menambah dua gol melalui Shafiq Hassan yang bijak melakukan tindakan susulan hasil gerakan cantik yang berpunca daripada Azrai Aizad Abu Kamal.
Dan disusuli jaringan bersahaja Akhimullah Anuar Esook yang menyambut baik umpanan Norsyafiq Sumantri untuk menjadikan kedudukan 3-1 memihak kem negara.
Debaran dan tekanan semakin memuncak dalam suku keempat apabila kesilapan pertahanan negara menghadiahkan pukulan sudut penalti buat Afrika Selatan dan peluang terhidang digunakan sebaiknya oleh Carlton Mentoor.
Dua minit kemudian, skuad negara kembali menjarakkan kedudukan apabila Fitri Saari menjaringkan gol keempat kem negara.
Kedudukan 4-2 kekal memihak The Speedy Tigers dan skuad negara akan bertemu Wales dalam perlawanan klasifikasi kelima dan keenam esok.