Skip to main content

Hoki

Hoki Piala Negara-Negara: New Zealand hampakan The Speedy Tigers di laman sendiri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rabu.jpg
Skuad hoki negara terpaksa akur dengan kebangkitan New Zealand selepas tewas 3-4 dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan beraksi tanpa jaringan dalam suku pertama, namun jaringan Malaysia hadir dalam suku kedua perlawanan selepas gerakan lincah yang dilakukan Azrai Aizad Abu Kamal membuahkan hasil apabila hantarannya mudah ditolak masuk oleh Akhimullah Anuar untuk mendahului 1-0.

Tuah terus berpihak skuad negara selepas pengadil perlawanan menghadiahkan panalti strok ketika skuad negara agresif mengasak kubu New Zealand dengan Fitri Saari mudah menggandakan jaringan menjadi 2-0.

Selang dua minit kemudian, giliran Azrai Aizad pula sekali meletakkan The Speedy Tigers dalam keadaan selesa apabila pukulannya menewaskan Dominic Dixon kali ketiga.

Begitupun, sebelum suku ketiga berakhir New Zealand merapatkan jurang kedudukan menerusi gol Finn Ward dan satu lagi jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang dinoktahkan Simon Yorston.

Satu minit selepas bermula suku keempat menyaksikan New Zealand menyamakan kedudukan menerusi keadaan huru-hara di hadapan gawang daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Sean Findlay.

Malah figura Finn Ward sekali lagi menghantui anak buah Sarjit Singh apabila pukulannya meletakkan New Zealand mendahului 4-3 dan tiada sebarang tambahan jaringan hingga wisel penamat dibunyikan.

Malaysia akan meneruskan kempen Kumpulan B, Kejohanan Piala Negara-Negara 2025 berdepan Jepun pada Rabu ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video