HOKI
Hoki Piala Dunia Remaja: Faktor kecergasan punca kekalahan Malaysia
Skuad projek khas hoki negara gagal mengekalkan rentak cemerlang serta bayangan kelincahan Young Tigers yang dijelmakan ketika kemenangan pada aksi pembukaan ke atas Chile apabila mereka tidak berupaya untuk berdaya saing terpaksa akur tewas empat gol tanpa balas kepada juara bertahan, Argentina dalam saingan Kejohanan Hoki Piala Remaja Dunia.
Lebih merisaukan barisan kejurulatihan kem negara, ketumpulan gerakan pukulan sudut penalti selain faktor kecergasan pemain yang menjadi tumpuan utama pasca kekalahan dalam aksi kedua peringkat kumpulan A itu semalam.
Skuad negara tampil bagaikan sang juara pada hari pembukaan dengan meledak tujuh gol ke atas Chile sebelum berdepan realiti sebenar yang menyerlahkan jurang perbezaan kualiti ketika bertemu Argentina.
Iklan
Daripada perspektif seorang jurulatih yang juga merupakan bekas tonggak pertahanan negara, Amin Rahim, berasakan anak didiknya sebenarnya menyerlahkan potensi untuk menyaingi Argentina namun ianya hanya bertahan pada separuh masa pertama.
Kegagalan mengekalkan intensiti tinggi itu menjadi punca Argentina bermaharajalela dan Amin Rahim menyeru agar permainnya kekal fokus mental dan fizikal pada aksi bertemu Australia esok.
"Perbezaan kita dengan pasukan Argentina ialah mereka boleh bermain secara fizikal dan mental selama 60 minit, namun pemain kita tidak mampu bertahan secara fizikal apabila memasuki babak kedua permainan," katanya menerusi Nadi Arena.
"Pemain negara perlu tahu apabila beraksi dalam peringkat antarabangsa, faktor fizikal menjadi keutamaan buat pemain."
Di kem juara bertahan, kemenangan tersebut hasil kerja keras di sebalik tabir yang menganalisis latar belakang kekuatan skuad negara yang terletak pada pukulan sudut penalti.
Pemerhatian itu benar-benar berhasil sehingga skuad negara gagal menyempurnakan keempat-empat gerakan pukulan sudut penalti.
"Aksi yang sukar menentang pasukan Malaysia, mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan pemain pantas," katanya lagi.
"Kami perlu mengawal aksi dan tidak berikan mereka ruang."
Malaysia bakal turun bertemu Australia pada esok.
Must-Watch Video