HOKI

Hoki Piala Dunia: Malaysia sangkal Shello Silverius percaturan berisiko

Shaiful Shamsudin 29/12/2022 | 16:29 MYT
Ketua jurulatih, Arul Selvaraj, menamakan skuad akhir untuk menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia di Bhubaneswar yang menyaksikan dua tonggak tercedera iaitu ketua pasukan, Marhan Jalil, serta Shahril Saabah kembali memperkuatkan The Speedy Tigers dalam kempen bermula dari 13 hingga 29 Januari depan.
Namun, di sebalik pengumuman taruhan 20 terbaik Arul itu, tumpuan utama terarah kepada pemilihan Shello Silverius yang masih dibelenggu kecederaan.
"Doktor sudah menilai keadaannya. Minggu depan dia akan mula pegang kayu hoki dan berlatih, dia mungkin akan menyarung pendakap tangan khas.
"Dia memiliki kecergasan tinggi dan amat bijak.
"Dia sebenarnya bermula sebagai pemain tengah tapi kami menukar posisinya sebagai penyerang, malah dia dapat meledak beberapa gol dalam jelajah Eropah dan dia menyamai jaringan Razie Rahim dalam Piala Sultan Azlan Shah.
"Kami memerlukan (sentuhannya) walaupun kami ada 17 hari lagi sebelum menghadapi perlawanan pertama.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Walaupun beberapa hari ini dia tidak dapat memegang kayu hoki, tapi kecergasannya tinggi dan memiliki karakter yang kuat," katanya dalam sidang media pengumuman skuad 20 pemain ke India, hari ini.
Arul pada hari ini enggan mengumumkan sasaran keseluruhan skuad negara di India sambil meletakkan misi awal untuk melepasi peringkat Kumpulan C bersama Belanda, Chile dan New Zealand.
Menerusi format baru kejohanan, pasukan terbaik dalam setiap kumpulan akan mara ke suku akhir sementara pasukan di tangga kedua dan ketiga setiap kumpulan bertembung dalam perlawanan klasifikasi bagi mengisi slot lapan pasukan terbaik.
"Kami ingin menamatkan saingan peringkat kumpulan dalam kalangan tiga teratas.
"Kalau kami menjuarai kumpulan maka secara automatik kami layak ke suku akhir dan kalau di tangga kedua dan ketiga, kami bakal berdepan juara Kumpulan B yang mengandungi India, Wales dan England.
"Sudah tentu keutamaan kami adalah lolos daripada peringkat kumpulan," katanya.
Biarpun tempang tanpa kehadiran tonggak pertahanan yang memperkuat cabaran negara dalam Piala Negara-Negara yang lalu, Arul kekal optimis anak buahnya berupaya berada dalam kalangan lapan pasukan terbaik dunia.
"Susah untuk saya sebutkan 1-2 nama, sudah tentu dalam fikiran saya (terlintas khidmat) Nik Aiman Nik Rozemi dan Azrai Aizad Abu Kamal tapi kami tidak boleh lari daripada hakikat.
"Tapi senario ketika ini (menyaksikan) pemain yang tersenarai cukup minit permainan untuk menggalas tugas kali ini.
"Disebabkan kami lebih cenderung menyenaraikan pemain bertahan tapi ada beberapa pemain serba boleh seperti Ashran (Hamsani), Zulpidaus Mizun, Amirul Hamizan Azahar dan Najib Abu Hassan yang boleh bermain di beberapa posisi.
"Jadi saya boleh meletakkan mereka di posisi berlainan dalam perlawanan tertentu," katanya.
#Hoki
;