HOKI
Hoki Piala Dunia FIH: Sepanyol kesempatan terakhir The Speedy Tigers uji taktikal
Ketua jurulatih hoki negara, Arul Selvaraj, menegaskan pasukannya kini sudah bersiap sedia hampir 90 peratus menjelang pembukaan kempen Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India yang bermula Jumaat depan.
Arul mengakui lega melihat situasi dan motivasi barisan anak buahnya yang kini dalam keadaan yang cukup baik.
Ketika ditanya mengenai bayangan kesebelasan utama, pengendali berusia 49 tahun itu menganggap setiap pemain mempunyai peluang sama rata untuk diturunkan.
Arul turut berharap aksi pemanas badan berdepan Sepanyol pada Rabu depan mampu jadi medan terakhir buat barisan kejurulatihan The Speedy Tigers menilai tahap kemampuan pemain.
"Fizikal dan taktikal kami sudah di tahap 90 peratus.
"Cuma baki 10 peratus lagi tahap persediaan ialah ketika dalam kempen di India kelak.
"Ia berkaitan emosi, tempat tinggal dan makan minum pemain.
"Kalau boleh saya ingin meminta jurulatih Sepanyol untuk mengadakan perlawanan dalam tiga suku permainan agar saya dalam setiap babak, saya dapat cuba persiapan cara bertemu Belanda, Chile dan New Zealand," katanya dalam persiapan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam sebelum bertolak ke India, Jumaat ini.