HOKI
Hoki Piala Dunia FIH: Arul puji disiplin pemain ketika bangkit benam Chile
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj, memuji displin tinggi yang dipamerkan pemainnya ketika bangkit sebanyak dua kali untuk menewaskan Chile dalam perlawanan kedua Kumpulan C, Piala Dunia di Stadium Hoki Kebangsaan Birsa Munda, Rourkela hari ini.
Dalam aksi kedua peringkat kumpulan itu, Malaysia dua kali berada di belakang, di mana Razie Rahim dan Ashran Hamsani bertindak sebagai penjaring gol penyamaan sebelum Norsyafiq Sumantri menjadi wira negara dengan jaringan kemenangannya susulan satu gerakan pukulan sudut penalti.
Selepas tewas 0-4 kepada Belanda dalam perlawanan pertama kelmarin, skuad negara sekali lagi akan membawa misi wajib menang ke atas New Zealand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Khamis ini untuk membuka peluang ke suku akhir atau ke pusingan 'cross-over'.
Iklan
Arul berkata kepada Astro Arena: "Kemenangan ini amat penting untuk pasukan. Kami mencapai apa yang kami mahukan daripada dua perlawanan menentang Belanda dan Chile dengan cara kami bermain dan apa yang kami mahukan daripada perlawanan berkenaan.
"Ia satu kemenangan yang akan memberikan kami langkah yang bagus untuk ke peringkat seterusnya.
"Walaupun ketinggalan sebanyak dua kali, pemain telah menunjukkan kemampuan, disiplin, kegigihan dan komitmen yang tinggi untuk mencari kemenangan.
"Daripada segi pukulan sudut penalti, sudah pasti kami akan kaji tetapi kami juga mendapatkan satu jaringan daripada pukulan sudut penalti, pukulan penalti dan gol padang.
"Daripada segi taktikal, saya memberikan pujian buat disiplin pemain sejak daripada perlawanan menentang Belanda, di mana kami cuba mengawal permainan.
"Hari ini, taktikal kami juga berubah ketika berdepan Chile.
"Pada pendapat saya, walaupun kami membenarkan lawan menjaringkan dua gol, kami masih dapat melakukannya dengan disiplin taktikal yang tinggi.
"Jika kami dapat meneruskannya, saya yakin kami mampu maju lebih ke depan," katanya.
Must-Watch Video