SUKAN LAIN
Hoki Piala Asia Wanita: Hanis Nadiah kembali jalani persiapan
Jurulatih skuad hoki projek khas wanita, Nasihin Nubli Ibrahim, mengakui menagih khidmat tonggak berpengalaman, Hanis Nadiah Onn, dalam kempen Piala Asia Wanita 2022 pada 21 Januari ini di Muscat, Oman.
Kehadiran Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 itu serta beberapa tonggak, antaranya Noraini Abdul Rashid dan Juliani Mohd Din yang dilihat mampu menjadi nilai tambah terbaik buat skuad kebangsaan yang berdepan laluan sukar dalam Kumpulan A di samping India, Jepun dan Singapura.
"Kami ada 32 pemain (dalam senarai pemilihan) dan kami mahu menyerapkan 18 orang dengan tambahan dua pemain lagi sebagai langkah berjaga-jaga dalam Piala Asia.
"Saya optimis untuk dapatkan pemain terbaik sebab kami bebas daripada kecederaan sementara Hanis Nadiah juga baru kembali daripada (program) pemulihan bersama ISN (Institut Sukan Negara).
"Saya akan lihat sejauh mana persembahannya dalam latihan ini.
"Dengan pemain senior dan remaja yang berbakat, saya rasa kami boleh beri cabaran.
"Kami tidak letak sasaran kerana tidak mahu memberi tekanan mereka memandangkan ini merupakan pengalaman pertama bagi ramai dalam kalangan mereka," kata jurulatih itu.