HOKI

Hoki Piala Asia: Korea Selatan sekat hajat barisan negara

Shaiful Shamsudin 28/05/2022 | 11:39 MYT
MALAYSIA 2 KOREA SELATAN 2
Korea Selatan menafikan kebangkitan Malaysia apabila mengikat The Malaysian Hockey Tigers 2-2 dalam aksi pembukaan Super 4 Piala Asia, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Padang Hoki GBK, Jakarta itu menyaksikan pertahanan negara, Muhammad Razie Abdul Rahim, membuka tirai jaringan menerusi tolakan bijak seawal minit ketiga.
Namun, ia membangkitkan semangat melawan Korea Selatan untuk menyamakan kedudukan menerusi situasi bola mati daripada pertahanan, Lee Nam-yong.
Giliran Korea Selatan pula mendahului apabila penyerang, Jeong Jun-woo, berhasil mengelirukan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman, dalam suku kedua untuk mendahului 2-1.
Selepas rehat, Malaysia kembali garang dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ashran Hamsani dalam suku ketiga.
Walaupun anak buah Arul Selvaraj itu memiliki beberapa kesempatan menarik di depan gawang lawan, keputusan 2-2 itu bagaimanapun kekal hingga penghujung perlawanan.
"Saya gembira (dengan) cara kami menggerak bola, rentak dan tenaga untuk bertenaga ke depan.
"Saya kecewa daripada segi keputusan, kami melepaskan banyak peluang tapi posisi kami di padang dan kawalan bola memuaskan.
"Saya juga kecewa dengan jaringan yang mereka (Korea Selatan) dapat kerana ia melalui bola hantaran jauh dan pukulan sudut penalti.
"Kami melepaskan gol mudah," kata Arul.
Menurut Faisal Saari -- yang kecergasannya akan dinilai semula malam ini: "Ini sangat perlawanan yang sangat penting. Kami terpaksa meletakkan badan untuk beri ruang kepada mereka mengasak.
"Apa yang bagus kami tidak kehilangan mata pada hari ini.
"Saya sangat bangga dengan usaha gigih rakan sepasukan dan kami perlu teruskannya."
#Hoki #Piala Asia 2022
;