Skip to main content

Hoki

Hoki Piala Asia: Azrai teruja kembali bergandingan bersama Ashran Hamsani

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azrai.jpg
Penyerang prolifik Speedy Tigers, Azrai Aizad Abu Kamal kembali disatukan bersama senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson iaitu Ashran Hamsani dalam skuad negara untuk merealisasikan impian ke final Piala Asia 2025 bermula 27 Ogos.

Azrai atau mesra disapa Aboy merupakan watak penting jentera serangan Speedy Tigers namun pasca kempen piala negara-negara di Kuala Lumpur, ketua jurulatih, Sarjit Singh merasakan kem negara memerlukan tonggak berpengalaman yang mampu menjadi sandaran.

Kekosongan itu kini diisi Ashran yang sebelum ini beraksi bersama skuad hoki dalam dewan dan mengetuai kem negara beraksi di pentas Piala Dunia Februari lalu.

Gandingan Azrai dan Ashran mengembalikan nostalgia senior dan junior malah dua bakat dari SMK Anderson di Ipoh, Perak itu kini menjadi pemacu Speedy Tigers untuk kembali garang di pentas antarabangsa.

Persiapan skuad hoki negara berbaki 3 minggu sebelum berlepas ke India kini terarah kepada tahap kefahaman taktikal dan Azrai serta Ashran bakal jadi taruhan ketuai serangan negara.

"Bila masuk skuad senior baru saya dapat bermain dengan Ashran, Najib dan semua senior-senior saya lah, perasaan pertama saya rasa sangat bagus untuk dia kembali menyertai pasukan kebangsaan.

"Kita sememangnya memerlukan penyerang dan kami sangat mengalu-alukan kehadirannya, kami mahu buktikan mampu berikan sesuatu yang terbaik buat jurulatih Sarjit Singh.

"Prestasi semasa di Piala Negara-Negara telah kami Analisa untuk diperbetulkan dan saya rasa kami mampu mara ke peringkat akhir Piala Asia," kata Azrai Aizad Abu Kamal.

Advertisement

Must Watch Video