Skip to main content

Olimpik

Hoki: Peluang Hairi masih belum tertutup

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hairi-abdul-rahman.jpg
Penjaga gol skuad hoki negara, Mohd Hairi Abdul Rahman, berpeluang untuk menyertai siri aksi persahabatan menentang Korea Selatan bermula 19 September ini apabila menamatkan sesi rawatan kecederaan lututnya, dua minggu lagi.

Pemain senior itu sudah tiga bulan menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) susulan pembedahan meniscus.

Dia menunjukkan perkembangan positif dan akan menyertai sesi latihan The Malaysian Hockey Tigers dalam tempoh dua minggu lagi.

Ia bermakna penjaga gol kelahiran Johor itu berpeluang untuk menyarung jersi negara bagi tugasan di Korea Selatan, yang juga persiapan terakhir di luar negara menjelang pusingan playoff kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

"Memang lepas tempoh dua minggu itu, saya dibenarkan untuk kembali kepada pasukan, namun daripada segi pemilihan, ia masih lagi terpulang kepada jurulatih.

"Kita tahu yang saya baru sahaja pulih daripada kecederaan, jadi banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk mendapatkan prestasi terbaik," katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengarahkan ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans, untuk membawa pemain terbaik ke Korea Selatan.

Ia bagi meningkatkan keyakinan pemain untuk meraih keputusan cemerlang menjelang pusingan kelayakan berkenaan.

Ketika ini, Malaysia memiliki lima penjaga gol, iaitu Hairi, S. Kumar, Hafizuddin Othman, Zaimi Mat Deris dan Adrian Andy Albert.

"Saya lebih fokus untuk tidak mengambil keputusan yang terburu-buru.

"Sebab banyak lagi kejohanan yang lebih penting.

"Saya rasa, kami akan berbincang dengan jurulatih tentang apa keputusan yang akan diambil," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video