GOLD COAST 2018

Hoki: Misi seterusnya benam Scotland

Penulis Jemputan 11/04/2018 | 05:03 MYT
Penyerang negara, Hanis Nadiah Onn, puas apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-23 sudah cukup untuk membantu skuad hoki wanita layak ke perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan bertemu Scotland, esok.
Ia juga gol sulung buat Hanis dalam temasya Gold Coast 2018 selepas gagal menembusi gawang lawan dalam tiga perlawanan lalu.
Rasa lega mampu menjalankan tanggungjawab selaku penyerang mencetuskan kegembiraannya berikutan kemenangan ke atas Wales diharap mampu memulihkan imej skuad negara yang dipandang rendah kebanyakan pasukan dalam kempen ini.
"Gol itu amat berharga kerana membolehkan kami meraih peluang dalam aksi ketujuh dan kelapan. Sebagai penyerang, sememangnya tanggungjawab saya untuk menjaringkan gol.
"Kami boleh menentang sesiapa sahaja tetapi untuk aksi seterusnya, kami harus lebih fokus," ujar Hanis.
Jurulatih negara, Dhaarma Raj Abullah, menegaskan dia tetap mahukan kedudukan ketujuh walaupun ia sekadar mengulangi pencapaian dalam temasya Glasgow 2014.
Melihat disiplin serta kekuatan mental pemain-pemain ketika berdepan Wales, Dhaarma optimis kekalahan 1-0 di tangan Scotland dalam aksi penentuan tempat kesembilan dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia tahun lalu, mampu ditebus.
"Saya memang mengharapkan tempat ketujuh kerana Kanada dan Scotland sudah meningkat.
"Di sini, kami bermain agak cemerlang dan bagi saya jika mendapat tempat ketujuh, ia dikira sangat cemerlang," ujar Dhaarma.
;