GOLD COAST 2018
Hoki: Malaysia Tigers akhiri saingan di tempat kelima
MALAYSIA 2 SCOTLAND 1
Skuad hoki lelaki negara menamatkan aksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di tempat kelima selepas menang 2-1 ke atas Scotland dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam, hari ini.
Skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu turun dengan sasaran yang sudah pun dicapai, iaitu untuk memperbaiki pencapaian tempat ketujuh dalam edisi lalu, kali ini dalam penentuan tempat kelima dan keenam.
Iklan
Malaysia tiada masalah untuk memberi tentangan sengit kepada Scotland, namun dikejutkan dengan gol padang lawan oleh Alan Forsyth pada minit ke-11.
Dalam suku kedua, asakan daripada Malaysia berhasil untuk mereka menjaringkan gol penyamaan menerusi gol padang Shahril Saabah pada minit ke-21.
Kedudukan seri setakat ini menjadikan perlawanan makin sengit dengan masing-masing melakukan serangan balas sebelum Malaysia akhirnya menyempurnakan pukulan sudut penalti Amirol Aideed pada minit ke-39 untuk Malaysia berada di depan.
Scotland yang makin tertekan cuba bangkit untuk melepasi pertahanan skuad negara dan usaha mereka hampir menjadi pada minit-minit terakhir perlawanan.
Kecekapan anak buah Van Huizen yang berjaya menghalang asakan lawan akhirnya memberikan kemenangan buat skuad negara sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.
"Adalah penting untuk kami mencapai tahap yang dihajati dalam usaha meningkatkan mutu permainan.
"Sudah tentu barisan pemain negara tetap berasa kecewa kerana tidak dapat melayakkan diri ke separuh akhir memandangkan mereka telah berusaha sedaya-upaya.
"Namun, setidak-tidaknya kami mengakhiri saingan ini di kedudukan yang lebih baik dalam kalangan pasukan yang gagal ke separuh akhir," ujar Van Huizen.
Must-Watch Video