GOLD COAST 2018
Hoki: Lawan Wales misi elak tangga tercorot
Penjaga gol skuad hoki wanita Malaysia, Farah Ayuni Yahya, dilabel penyelamat maruah negara apabila berjaya mengelak diaibkan England dalam aksi ketiga Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.
Biarpun tewas 0-3 kepada England dalam aksi ketiga Kumpulan A, Ayuni antara yang menjadi tumpuan apabila menyelamatkan tiga pukulan penalti strok England.
Tanpa Ayuni, skuad negara mungkin dibelasah sehingga enam gol dan pujian harus diberikan kepada Penjaga Gol Terbaik Asia 2016 itu yang memberikan aksi terbaik walaupun pasukan negara gagal menghasilkan sebarang jaringan.
"Walaupun berdepan pasukan yang berada di tangga kedua dunia, kami tidak gentar.
"Saya dapat menahan tiga percubaan utama itu (penalti strok) adalah hasil bantuan daripada jurulatih penjaga gol, Roslan Jamaluddin, yang hanya mahu kami bermain, fokus serta tenang dan ia membantu kami dalam permainan," ujar Ayuni.
Perlawanan wajib menang ke atas Wales esok tidak akan diambil mudah oleh Ayuni dan khidmatnya pasti ditagih untuk memastikan pintu gol negara dikawal dengan lebih rapi.
"Kami wajib menundukkan Wales kerana mereka telah mengatasi India, jadi kami perlu beraksi berhabis-habisan dalam perlawanan terakhir untuk mengelak berada di kedudukan tercorot," katanya.