SUKAN ASIA 2018

Hoki: Faizal mahu rakan sepasukan bangkit

Penulis Jemputan 30/08/2018 | 02:46 MYT
Penyerang skuad hoki negara, Faizal Shaari, tidak mahu bencana terus menyelubungi pasukannya susulan kekalahan 4-1 kepada Pakistan dalam aksi peringkat kumpulan, sebaliknya berharap ia cukup menjadi bekal pengajaran untuk bertemu India dalam separuh akhir Sukan Asia 2018.
Disandarkan harapan selaku individu penting mengemudi jentera serangan, Faizal mengakui saingan separuh akhir berdepan India mencetuskan tekanan kepada dirinya.
Namun, Malaysia tiada masa untuk merintih kesukaran yang menanti setelah dipaksa menelan pengalaman pahit ditewaskan Pakistan sebelum ini.
"Perkara itu saya jadikan sebagai sesuatu yang bagus dan boleh meningkatkan tahap keyakinan. Kami harus mengikut tempo sendiri dan mengekang India sehingga ke suku terakhir, cuba dengan apa cara sekalipun.
"Kalau boleh, mahu dapatkan kemenangan," kata Faizal.
Daripada segi ranking, India memang mengatasi Malaysia di kedudukan kelima dunia tatkala skuad negara menghuni tangga ke-12.
Bagaimanapun, berdasarkan prestasi kebelakangan ini, Malaysia tidak kekok dalam memastikan aksi seimbang sambl Faizal berharap agar kejayaan mampu dicapai skuad negara dalam tempoh waktu sebenar bagi mengelak penentuan penalti.
"Buat rakan sepasukan, diharapkan semua dapat beraksi sehabis baik. Jika dilihat, kami ada mencatat kemenangan ke atas India, jadi semua aksi sebelum ini perlu dikaji semula."
;