HOKI
Hoki ACT: Malaysian Tigers dituntut lebih bertenaga berdepan Jepun
Rentak kemenangan skuad hoki lelaki negara dalam kempen Kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) terhenti apabila dibelasah 0-5 oleh juara tiga kali, India, di Chennai semalam.
Dalam perlawanan di Stadium Mayor Radhakrishnan itu, India memulakan pesta gol pada minit ke-15 menerusi jaringan padang, Selvam Karthi.
India kembali mengganas apabila menjaringkan dua gol daripada pukulan sudut penalti, masing-masing dijelmakan Hardik Singh pada minit ke-32 dan Harmanpeet Singh (m-42).
Iklan
India terus menambah derita Malaysian Tigers kendalian Arul Selvaraj apabila Gurjant Singh menyumbat masuk gol padang pada minit ke-53 sebelum Jugraj Singh melengkapkan kemenangan besar tuan rumah dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-54.
Kemenangan India itu menyaksikan gergasi Asia itu mengumpul tujuh mata, sekali gus memintas Malaysia yang memungut enam mata untuk berada di tempat teratas kumpulan selepas tiga perlawanan.
Sebagai rekod, Malaysia, yang membuka tirai kempen kejohanan itu dengan menumpaskan Pakistan 3-1, Khamis lalu diikuti kemenangan 5-1 ke atas China pada Jumaat lalu, bakal membuat perhitungan dengan Jepun petang ini.
Dalam pada itu, Arul mengakui kecewa apabila anak buahnya memberikan banyak ruang serta terlalu menghormati lawan.
"Perlawanan seterusnya dengan Jepun, kami kena bermain dengan lebih yakin dan bertenaga untuk menang," katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video