HOKI
Hoki ACT: Arul lega Malaysia kembali ke prestasi terbaik
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, mengakui lega apabila Malaysian Tigers kembali semula ke rentak kemenangan dalam Trofi Juara-Juara Asia (ACT) selepas dibelasah India sebelum ini.
Malah, menurut Arul, kemenangan ke atas Jepun membolehkan pasukan hoki negara mengesahkan slot ke separuh akhir lebih awal dengan berbaki satu perlawanan.
"Saya gembira apabila pemain berjaya mengawal permainan dengan baik dalam perlawanan ini.
Iklan
"Malah pemain berjaya menampilkan aksi dengan lebih kemas berdepan Jepun, baik daripada segi 'ball positioning' serta pergerakan bola berbanding ketika menentang India semalam.
"Esok (hari ini) kami akan berehat satu hari sebelum berdepan dengan Korea Selatan dan kami juga akan buat 'post mortem' kekalahan kepada India," kata Arul selepas perlawanan itu.
Selepas dibelasah 0-5 oleh tuan rumah, India, pada Ahad lalu, skuad hoki negara bangkit luar biasa apabila membelasah Jepun 3-1 dalam perlawanan di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai semalam.
Tiga mata diraih anak buah Arul Selvaraj itu embolehkan Malaysian Tigers mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Skuad negara bermula garang apabila merobek gawang Jepun menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-13.
Gol itu menyuntik semangat juang pemain Malaysian Tigers, namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan Razie Rahim dan Faizal Saari.
Separuh masa kedua, Meor Muhammad Azuan Hassan melebarkan kedudukan pasukan negara apabila meledak gol kedua pada minit ke-37.
Shello Silverius kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan gol pada minit ke-59 sebelum Jepun merapatkan defisit hasil jaringan gol padang Takuma Niwa.
Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigers mengumpul sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan -- menang ke atas Pakistan (3-1), China (5-1) dan Jepun (3-1) selain tewas 0-5 kepada India.
Anak buah Arul akan berdepan satu lagi gergasi Asia, Korea Selatan, dalam perlawanan kelima esok.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video