Skip to main content

Permotoran

Hentakan pada tuas brek sebabkan Alex Marquez terjatuh di Assen

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

alex-marquez-gresini-racing-af-2.jpg
Insiden membabitkan kemalangan penunggang Ducati KB8 Gresini Racing, Alex Marquez, akhirnya didedahkan menerusi data telemetri yang dikongsikan oleh pasukan itu kepada media.

Dalam insiden tersebut jentera yang digunakan Alex dikatakan telah mengalami tekanan luar biasa pada brek hadapan sewaktu dia berlanggar dengan Pedro Acosta pada pusingan keenam Grand Prix Belanda di litar Assen.

Pengurus pasukan itu, Michele Masini, menjelaskan bahawa hentakan pada tuas brek hadapan berlaku ketika kedua-dua pelumba itu bersentuhan antara satu sama lain yang menyebabkan tayar hadapan Alex terkunci hingga mengeluarkan asap sebelum Alex terjatuh.

Situasi malang itu berlaku ketika kedua-dua pelumba itu sedang melakukan pecutan selepas keluar daripada selekoh kelima yang menyebabkan Alex secara tidak sengaja tertekan brek hadapan jenteranya hingga menyebabkan hilang kawalan.

Kemalangan itu menyebabkan Alex kini disahkan mengalami patah tulang tangan kiri dan terpaksa dihantar ke Madrid untuk menjalani pembedahan.

Keadaannya ketika ini dilaporkan stabil dan pasukan perubatan sedang memantau perkembangan kesihatan beliau dari semasa ke semasa.

Gresini akan memberikan ruang masa sepenuhnya untuk Alex sembuh daripada kecederaan tersebut sehingga dia benar-benar pulih sebelum beraksi dalam pusingan perlumbaan bagi musim ini.

Walaupun Acosta terselamat dari insiden tersebut, namun malangnya dia turut mengalami kecederaan apabila disengat lebah ketika di paddock sejurus tamat perlumbaan.

Advertisement

Must Watch Video