HOKI

Haziq Samsul kembali, keluar daripada persaraan perkuat Maybank

Aleqha Zainal 27/12/2024 | 11:12 MYT
Bekas penyerang skuad hoki negara, Haziq Samsul, membuat keputusan mengejut apabila keluar daripada persaraan dan membuat kemunculan kembali dalam perlawanan persahabatan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.
Haziq, yang mesra dikenali sebagai Botol dalam kalangan rakan sepasukan, menerima pelawaan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Iman Gobinathan bagi menghadapi musim baru yang bakal bermula pada 4 Januari depan.
Kemunculan Haziq telah mencuri perhatian ramai, terutamanya selepas keputusan drastik yang diambilnya untuk menggantung kayu hoki ketika berusia 27 tahun.
Kepulangan Haziq memperkuat jentera serangan Maybank memberi suntikan semangat baharu kepada pasukan, sekali gus menyemarakkan harapan untuk menjulang kejuaraan pertama sejak kali terakhir diraih pada tahun 1995.
Malah, dia juga akan mengetuai pasukan Maybank dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan selama tiga dekad di Liga Hoki Malaysia.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Maybank, pengurus pasukan, jurulatih Bobby, Mat Jun kerana beri sokongan kepada saya."
"Saya pun dah tiga tahun, bukan tiga tahun tak main hoki tapi tidak jejak kaki di Stadium Hoki ini, jadi saya perlu mengambil serius."
"Maybank banyak berjasa kepada saya, selepas bermain hoki, mereka memberi pekerjaan juga kepada saya, dan bila saya mahu keluar secara baik pun, Tuan Omar baik dengan saya walaupun saya dah tinggalkan tiga tahun, tetapi ada hubungan rapat dengan Maybank."
"Saya baru seminggu sahaja berlatih tapi daripada pengalaman saya boleh membantu pemain baharu Maybank untuk meraih piala tahun 2025," katanya di Nadi Arena.
#Hoki #Maybank #Haziq Samsul
;