HOKI
Harris Iskandar perkemas sentuhan penyudah, inspirasi Faizal Saari
Penyerang muda hoki negara, Mohammad Harris Iskandar Osman, menerima nasihat berharga daripada bekas penyerang prolifik negara, Faizal Saari, untuk lebih tajam dalam penyudah serta bijak menghidu ruang bagi mencipta jaringan.
Harris mengakui bahawa ketenangan dan ketepatan adalah elemen paling penting bagi seorang penyerang berkualiti dalam menembusi gawang lawan.
"Apa yang Faizal tekankan kepada saya adalah aspek penyudah.
Iklan
"Semua tahu, penyudah Faizal Saari sangat tajam.
"Jadi, saya perlu lebih tenang dan membuat keputusan terbaik supaya dapat menjaringkan gol.
"Dalam kawasan 'D', ketepatan adalah kunci, dan setiap percubaan harus disudahkan dengan sebaiknya," kata Harris di Nadi Arena.
Sementara itu, ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh, membuka ruang kepada semua pemain termasuk Harris untuk membuktikan bahawa mereka layak mengisi posisi penyerang utama pasukan.
Namun, Sarjit menegaskan bahawa kecergasan fizikal menjadi isu utama, terutama bagi pemain muda yang masih kekurangan minit permainan untuk mencapai tahap pemain senior.
"Perkara paling penting adalah kecergasan fizikal.
"Kami perlu meningkatkannya, sebelum tahap kecergasan mereka sangat baik, tetapi selepas kembali dari rehat, prestasi mereka menurun.
"Pemain perlu ada inisiatif untuk menjalani latihan sendiri.
"Inilah cabaran utama kami sekarang.
"Kita ada Harris Iskandar Osman, Muhajir Abdu Rauf, Abu Kamal Azrai dan Akhimullah Anuar, ini adalah peluang untuk mereka buktikan kemampuan bagi memastikan mereka menjadi pemain utama dalam pasukan,” kata Sarjit.
Pasukan negara bakal menguji kekuatan mereka dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan hoki lelaki Liaoning pada Khamis dan Jumaat ini.
Perlawanan ini akan menjadi medan penilaian bagi menilai tahap kecergasan pemain remaja sebelum senarai akhir 22 pemain dimuktamadkan.
Selepas itu, Speedy Tigers akan berlepas ke Perth, Australia, untuk Jelajah Australia dari 20 April hingga 2 Mei sebagai sebahagian daripada persiapan mereka.
Skuad kendalian Sarjit Singh juga akan menyertai Piala Negara-Negara dari 15 hingga 21 Jun, sebelum memasuki fasa latihan intensif selama enam hingga lapan minggu menjelang Piala Asia di India.
Must-Watch Video