Kapten pasukan bola tampar duduk negara, Harman Halion, mahu menjadikan kemunculan semulanya dalam pasukan kebangsaan sebagai satu penampilan bermakna selepas bertukar karier ke sukan ping pong sebelum ini.

Harman adalah antara tonggak senior dalam kem negara ketika ini.

Pemain berusia 40 tahun itu sudah pun menabur bakti sejak 2009 ketika Malaysia menjadi tuan rumah edisi kelima Sukan Para ASEAN, yang menyaksikan Malaysia meraih gangsa, dan aksi terakhirnya bersama skuad kebangsaan adalah dalam Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia pada 2011.

Selepas itu, dia membuat keputusan untuk beralih ke acara ping pong dan hanya beraksi dalam Sukan Paralimpiad Malaysia dan seterusnya kembali semula ke pangkuan skuad bola tampar duduk untuk bersama-sama menghadapi Sukan Para ASEAN KL 2017.

"Bola tampar bagi saya adalah sukan yang menyeronokkan kerana ada semangat berpasukan," jelas Harman.

Bagi jurulatih, Ahmad Musthakim Kamarukman, dia tidak mempunyai masalah untuk menerima pemain senior itu untuk berada dalam senarai akhir 12 pemain kebangsaan.

"Pemain-pemain yang diserapkan dalam skuad ini kami pilih daripada sirkit yang lepas. Tahun lepas, ada tiga sirkit kebangsaan dan tahun ini ada satu. Mereka ini diserapkan berdasarkan persembahan dalam kejohanan tersebut," kata Musthakim.