Hari Sukan Negara atur 66 program menarik liputi pelbagai peringkat umur
Shaiful Shamsudin
Oktober 12, 2023 20:48 MYT
Oktober 12, 2023 20:48 MYT
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, mengharapkan 66 program Hari Sukan Negara yang berlangsung hujung minggu ini mampu menggamit penglibatan lima juta rakyat Malaysia.
Dia yang muncul di studio Astro Arena sebentar tadi bertekad menjadikan Malaysia sebagai negara sukan dengan tujuan merakyatkan dan membudayakan sukan sejak penganjurannya pada 2015.
"Setiap tahun program ini berjaya menarik lebih sejuta rakyat Malaysia tetapi ia masih belum mencukupi.
"2022 mencatatkan sedikit penurunan jadi tahun ini kami sasar peningkatan jumlah peserta," katanya.
Adam berkata pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin menjejaskan penyertaan tahun lalu tetapi beberapa sektor makin rancak setelah sekatan mula dibuka dengan kemuncak program ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seawal pagi Ahad.
"Jelajah Fit Malaysia yang diadakan sejak dua bulan lalu dan akan berakhir Sabtu ini berjaya menarik minat jadi sambutan kemuncak Hari Sukan Negara di Putrajaya kali ini dijangkakan disertai lebih 600,000 masyarakat.
"Memandangkan Malaysia mempunyai ramai warga yang meningkat umur jadi kami adakan aktiviti yang boleh disertai oleh pelbagai peringkat umur termasuk bayi.
"Kami ada sukan untuk warga emas untuk melahirkan warga yang aktif.