BOLING
Harap ia berterusan -- Atlet tenpin boling negara syukur terima imbuhan
Jaguh tenpin boling negara, Muhammad Rafiq Ismail, berazam melakar lebih banyak kejayaan setelah menerima penghargaan tertinggi daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang bersetuju mempertimbangkan insentif khas kepada barisan pemenang pingat emas Piala Dunia Boling 2025 di Hong Kong, minggu lalu.
Kegembiraan sama turut dikongsikan Ahmad Muaz Mohd Fishol yang tidak menyangka pengorbanan mereka dihargai dan diberi pengiktirafan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kedua-dua mereka kini dalam persiapan untuk menyertai Siri Dunia Boling PBA di Stadium Nevada, Amerika Syarikat (AS).
Iklan
"Pertama sekali, saya berterima kasih kerana KBS memberi imbuhan dan motivasi pada masa akan datang. Saya harap perkara ini akan berterusan," kata Rafiq ketika ditemui di Sunway Piramid, Kuala Lumpur.
"Saya ucapkan terima kasih kerana melihat pengorbanan kami dan saya berharap ia diteruskan bukan setakat kami tapi atlet pelapis juga untuk masa depan negara," kata Ahmad Muaz di Nadi Arena.
Sementara itu, atlet wanita pertama memenangi emas kejohanan berprestij itu, Natasha Roslan, berterima kasih kepada inisiatif tersebut sambil mengharapkan peminat terus memberi sokongan padu ketika sedang berjuang membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua atas sokongan dan doa. Kami memerlukan sokongan dan doa kerana ia bukan diperlukan ketika kami sedang menang, malah ia membantu ketika kami sedang tewas," katanya.
Must-Watch Video