Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kekal dengan pendirian untuk membincangkan kedudukan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) dalam masa terdekat.

Namun, Hannah tidak menyembunyikan kekecewaannya terhadap situasi semasa membabitkan Pandelela dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Hannah dalam Nadi Arena sebentar tadi memaklumkan: "Pasti rasa kecewa tetapi saya hendak mendengar dahulu penjelasan daripada persatuan sukan tersebut kerana mereka mempunyai jurulatih dan pengarah teknikal semua.

"MSN sedang menyusun jadual untuk bersemuka dengan mereka.

"Portfolio kita adalah sukan dan belia, belia perlu diberikan sokongan untuk pastikan peluang kedua itu wujud untuk mereka.

"Tetapi untuk sukan ia banyak kepada mutu persembahan dan kita semua tahu dalam perjalanan seorang atlet ada masa mereka akan naik, ada masa mereka akan turun.

"Cabaran kita adalah untuk tengok bagaimana bantuan itu boleh dipertingkatkan atau diteruskan walaupun mereka gagal dan itu adalah cabaran yang tidak senang untuk laksanakan keputusan kerana kita juga ada melihat atlet-atlet kita walaupun telah jatuh mereka mampu bangun semula.

"Keputusan untuk menilai secara teknikal dan mutu persembahan atlet, buka satu keputusan yang boleh dilakukan oleh menteri, kita memerlukan maklumat daripada jurulatih, persatuan sukan dan tenaga pakar yang terlibat dengan pembangunan atlet itu," katanya.