Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan pada Jumaat mengumumkan tiga lagi penaja yang telah menyatakan minat mereka untuk menaja atlet yang akan memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024.

Tiga syarikat yang tampil untuk memotivasikan lagi kontinjen negara seramai 26 atlet yang bertanding di Paris ialah Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan MJ Health Screening Centre.

Yinson Holdings Berhad akan menyumbangkan RM1 juta, manakala Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre masing-masing menyumbang RM500,000.





Justeru, jumlah keseluruhan RM2 juta yang bakal diterima penyumbang pingat emas pertama Malaysia di Paris daripada sektor korporat.

Manakala di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Majlis Sukan Negara, atlet yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik dijanjikan ganjaran berjumlah RM1 juta.

Sementara RM1 juta lagi daripada redONE Mobile yang dibayar secara ansuran dalam tempoh 10 tahun dan RM1 juta lagi dari Senheng buat tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie.

Bagaimanapun, sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, ganjaran daripada sektor korporat itu akan akan dibahagikan sama rata di antara pemenang pingat emas pertama tersebut.