Skip to main content

Permotoran

Hamilton: Suasana negatif pacu kejayaan di Monza

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hamilton.jpg
Lewis Hamilton mengetepikan ejekan penyokong setia Ferrari selepas mengatasi Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen untuk menawan Grand Prix Itali, malam tadi. 

Hamilton mendahului pencabar utamanya, Vettel, dalam pusingan pertama yang menyaksikan pemandu Jerman itu terbabas manakala dia berjaya memintas Raikkonen.

Dengan berbaki lapan pusingan, dia melepasi pemandu Finland itu untuk menyamai rekod lima kemenangan Vettel di Monza.

Penampilannya di atas podium ditenggelami ejekan, bukannya sorakan berikutan peminat Ferrari berasa tidak senang melihat pesaing Vettel itu meraih mata maksimum -- namun itu semua tidak mengganggu Hamilton.

"Hari ini sangat sukar," katanya. "Kami mempunyai ramai orang di sini sungguhpun sambutan terhadap saya sangat dingin, itulah yang menjadi dorongan saya.

"Saya suka berada di Itali, saya sukakan makanannya, treknya luar biasa dan adalah menjadi satu penghormatan untuk menang di hadapan penyokong yang ramai.

"Saya mahu mengucapkan syabas kepada Ferrari yang menghasilkan cabaran hebat dan memberikan kita semua perlumbaan yang hebat. Saya ingin berterima kasih kepada mereka yang berasa di sini serta di halaman sendiri, tanpa sokongan mereka kejayaan ini tidak mungkin berlaku. 

"Wujud banyak unsur negatif tetapi dalam masa yang sama, banyak bendera British di luar sana hari ini. Anda tahu siapa anda semua tetapi pada masa akan datang, saya hanya mahu mengubah perkara negatif kepada yang positif, terima kasih kepada Valtteri (Bottas) juga. Kami tidak pernah berputus asa."

Raikkonen menghadapi masalah kerosakan tayar pada lewat perlumbaan untuk menafikannya kemenangan pertama sejak Grand Prix Australia 2013, begitupun dia berpuas hati dengan tempat kedua.

"Kereta saya cukup pantas tetapi malangnya tayar belakang mengalami masalah dan sejak itu kami kehilangan cengkaman," katanya.

"Saya tetap mencuba tetapi ia mustahil. Kami telah melakukan yang terbaik, tayar belakang saya menghadapi masalah sebelum perlumbaan berakhir, sekurang-kurangnya kami boleh mengambil tempat kedua."

Advertisement

Must Watch Video