SUKAN LAIN
Hakimi tagih sentuhan terbaik Firdaus
Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, berharap agar jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim, mampu membantunya untuk merealisasikan sasaran memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri tahun ini.
Hakimi mahu membuka lembaran 2019 dengan kejayaan lebih cemerlang, termasuk memecahkan rekod peribadi, 16.77 meter, yang dicipta dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Namun, Hakimi yakin berbekalkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki Firdaus, ia dapat membawa kejayaan kepadanya di pentas Sukan SEA Filipina, November depan.
Sebelum ini, Victor Sotnikov menjadi tulang belakang kepada kejayaan Hakimi, namun pengendali itu digantikan oleh Firdaus susulan tidak disambung kontrak.
"Setakat ini, saya yakin dengan latihan serta kemampuan jurulatih baru. Jurulatih saya ketika ini agak berpengalaman dan sasaran saya adalah memecahkan rekod peribadi terbaik tahun ini," katanya ketika ditemui dalam majlis penghargaan atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini di atas kejayaan mereka dalam Sukan Universiti Asean (AUG).
Sementara itu, Hakimi yang merangkul satu pingat emas melalui acara lompat kijang lelaki di pentas AUG 2018 menganggap insentif yang diterima daripada UPM dapat menambah semangat atlet untuk terus berbakti serta meningkatkan sukan negara.
"Benda ini memang dapat menambah motivasi dan semangat untuk terus berbakti bagi meningkatkan sukan untuk UPM dan juga negara."