SUKAN LAIN
Hakimi, Li Jane dinobat Olahragawan, Olahragawati Perak
Atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail, dan pemain boling tenpin, Sin Li Jane, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2017/2018.
Pengiktirafan itu diberikan atas pencapaian mereka sepanjang 2017 hingga 2018, termasuk ketika beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Hakimi memenangi pingat emas dalam acara lompat kijang manakala Sin Li memenangi tiga emas dan satu perak dalam temasya KL2017 itu.
Pengiktirafan itu adalah kali kelima buat Li Jane, 27, manakala yang kedua untuk Hakimi, 28 apabila masing-masing menerima piala pusingan, trofi, blazer dan wang tunai RM7,000 daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim.
"Setiap tahun, saya cuba beri yang terbaik untuk negara dan negeri Perak. Memang saya tak jangka akan menerima anugerah ini.
"Alhamdulillah, mungkin rezeki saya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur apabila saya memecahkan rekod temasya dwi-tahunan itu, sekali gus dipilih sebagai olahragawan," kata Hakimi.
Li Jane pula menyifatkan anugerah itu sebagai motivasi untuknya melakukan yang terbaik daripada sebelum ini.
"Anugerah ini menjadi motivasi untuk saya beraksi dengan lebih baik.
"Untuk berjaya, saya tak boleh curi tulang. Saya perlu bekerja keras dalam sesi latihan, termasuk menjaga aspek pemakanan dan yang lebih utama, kena ke gimnasium," katanya.
Sementara itu, Loo Jie Ren memenangi Olahragawan Harapan manakala Nor Nabila Natasha Mohd Nazri sebagai Olahragawati Harapan.
Pasukan bola sepak Perak, The Bos Gaurus, pula menerima anugerah Pasukan Terbaik berikutan kejayaan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2018.