MOTOGP
Hakim Danish naik podium di Portugal
Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, memulakan saingan Red Bull Rookies Cup 2023 dengan momentum positif apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan podium bagi Perlumbaan 2 di Portugal hari ini.
Dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve itu, pelumba berusia 15 tahun berkenaan, yang membuat penampilan pertamanya di kejohanan itu, memulakan saingan di petak kelapan.
Bagaimanapun, pelumba muda itu tidak berdepan masalah untuk memberi cabaran kepada pelumba lain, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketiga.
Kejayaan yang diraih Hakim Danish itu menyaksikan di menebus kekecewaan sekadar menamatkan perlumbaan 1 di tempat kelima semalam.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira. Ini adalah podium pertama saya di Portimao dan musim pertama dalam Red Bull Rookies Cup.
“Perlumbaan ini sangat menakjubkan dan begitu sengit. Pelumba lain juga begitu pantas tetapi saya dapat memotong dan berada di podium,” katanya.
Pelumba Sepanyol yang memenangi Perlumbaan 1, Angel Piqueras, mengekalkan penguasaannya sebagai juara bagi Perlumbaan 2 selepas menemui garisan penamat dengan catatan 26 minit 09.348s.
Rakan senegara Piqueras, Marcos Ruda, pula berada di tempat kedua selepas ketinggalan 0.002s, manakala Hakim Danish melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 0.017s di belakang pemenang kali ini.
Selepas berakhir Pusingan 1, Hakim berada di tangga keempat dengan 27 mata manakala Piqueras memimpin carta kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.
Alvaro Carpe pula di kedudukan kedua dengan 30 mata manakala Ruda ketiga setelah mengutip 27 mata.
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril, menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-10 dan mengakhiri pusingan pertama dengan 13 mata sebelum saingan beralih ke Litar Jerez, Sepanyol pada 29 dan 30 April ini.
Kredit: Sinar Harian