SUKAN LAIN
Hafifi digantung empat tahun
Setelah beberapa bulan menanti, akhirnya atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, sah digantung empat tahun oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana menggunakan bahan terlarang.
Nasib nyata tidak memihak kepada Hafifi meskipun mencabar sampel B, November tahun lalu selepas dia disahkan menggunakan bahan terlarang, oxymetholone, semasa Kejohanan Angkat Berat Terbuka Australia pada Mac 2017.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng, yang menjelaskan hukuman Hafifi bermula sejak November lalu.
Iklan
"Keputusan itu akan dihantar semula kepada saya dan ia hanya boleh disahkan apabila saya membuka e-mel," kata Poh Eng.
Usaha Nadi Arena mendapatkan reaksi Hafifi gagal selepas atlet kelahiran Terengganu itu tidak dapat dihubungi.
Begitupun, PABM masih menanti kata putus daripada Hafifi sama ada mahu merayu kepada IWF untuk mengurangkan tempoh hukuman ataupun sebaliknya.
"Kalau dia mahu melakukan rayuan, kami akan memanggilnya dan mendapatkan jawapan bagaimana ia boleh berlaku.
"Kami sedar apabila melibatkan kejohanan antarabangsa, sukar untuk melakukan rayuan, tambahan pula dadah yang dikesan itu tersenarai dalam bahan terlarang yang utama.
"Ia juga bergantung kepada bagaimana rayuan itu dibuat. Itu sahaja yang boleh kami lakukan buat masa sekarang," tambah pemangku Setiausaha Agung PABM, Abu Hanapah Ismail.
Must-Watch Video